painting malaysia painting sell paintings buy paintings painter MALAYSIA PAINTER malaysia

COMMENTARY (Bahasa Melayu)
Home | painter malaysia painter malaysia painting abstract painting malaysia | Suzlee In Borneo | (Laman Seni, Balai Seni Lukis Negara, KL) PETI SENI - 4 Februari 2006 | COMMENTARY (Bahasa Melayu) | Sculpture Workshop 1 | LINKS | mail art call

commentary:

UTUSAN MALAYSIA

24 April 2002

suzutusan24july.jpg
Pix: Utusan Malaysia

SUZLEE di samping lukisan terbarunya Drum Beat: 2002, salah satu karya terbaik dalam Movement Series.

SUZLEE di samping lukisan terbarunya Drum Beat: 2002, salah satu karya terbaik dalam Movement Series.

UTUSAN MALAYSIA /24 April 2002 (Sastera & Budaya)

Karya Suzlee bertaraf dunia

PAMERAN seni lukis 10 World Artists di Noosa Gallery, Australia baru-baru ini memperlihatkan perkembangan menarik dalam dunia seni catan tempatan. Ini kerana antara 10 pelukis terbaik dunia, seorang daripadanya adalah pelukis Malaysia iaitu Suzlee Ibrahim.

Program ini anjuran Artists Own Registry (AOR) iaitu badan yang bertanggungjawab untuk membuat pemilihan serta menilai pelukis yang berbakat serta berpotensi besar dalam seni visual.

Pastinya bukan sesuatu yang mudah kerana AOR hanya memilih 10 pelukis yang terbaik seluruh dunia. Pemilihan pastinya tertumpu kepada pelukis dunia yang aktif, berbakat dan komited dari aspek mutu pengkaryaan.

Peter Alexandroff, salah seorang panel yang dilantik oleh Noosa Gallery telah membuat pemilihan yang teliti dengan memilih 10 pelukis dari 10 negara iaitu Jepun, Amerika, Australia, Denmark, Malaysia, Bolivia, Perancis, Korea Selatan, Scotland dan Vietnam.

Pelukis yang terpilih akan mempamerkan karya-karya terbaik mereka berdasarkan kemahiran mengikut aliran atau bidang masing-masing. Antara karya yang dipamerkan ialah lukisan bercorak realisme, pop art, surrealisme, figuratif, media campuran, seni digital dan abstrak.

Suzlee dalam konteks pemilihan ini dianggap begitu tepat berdasarkan kejayaan, potensi dan konsistennya dalam aliran abstrak ekspresionisme sejak 1992. Malah, beliau dianggap sinonim dengan aliran ini.

Beliau misalnya telah menyertai lebih 100 pameran di dalam dan negara meliputi pameran berkumpulan dan solo. Karya-karyanya juga menjadi milik beberapa kolektor di seluruh dunia.

Pada pameran 10 World Artist Suzlee mengetengahkan 11 karya terbaiknya dari Movement Series yang menggunakan cat minyak dan akrilik di kanvas. Ia dihasilkan dari 1996 hingga 2001.

Melihat karya-karya ini, khalayak boleh membuat satu perbandingan catan-catan yang telah dihasilkan dalam tempoh tersebut. Interior, November dan Extreme Lives 2 adalah antara karya yang dipamerkan.

Idea karya Suzlee dianggap mempunyai kekuatan tersendiri dalam aliran abstrak ekspresionisme. Gaya sapuan tekstural dan gestural yang kasar, spontan dan bersahaja menonjolkan gerakan emosi yang begitu kuat.

Kesungguhan dalam bereksperimen dan mencari identiti tersendiri dalam aliran ini menyebabkan Suzlee berjaya `meninggalkan' pengaruh pelukis abstrak ekspresionisme Barat seperti Willem de Kooning dan Jackson Pollock dalam karya-karya awalnya.

Ini dibuktikan dalam karya-karya mutakhirnya yang menonjolkan gaya tersendiri dalam aliran ini. Antara lain, penggunaan kombinasi warna seperti merah, hitam dan kuning yang berbeza dengan gaya kedua-dua tokoh tersebut.

Sapuan berus dan penggunaan warna seperti itu, secara tidak langsung memberi impak dan daya tarikan emosi kepada khalayak untuk menyelami mesej yang cuba diutarakan oleh Suzlee dalam konteks seni lukis tempatan.

Di samping itu, beberapa eksperimen dari aspek warna dan bentuk juga menjadikan karya-karya mempunyai tarikan. Lukisan-lukisannya yang dihasilkan pada 2000 (sewaktu berada di England) agak berlainan. Ia dipersembahkan secara vertikal, berbeza dengan gaya horizontal seperti sebelumnya.

Sementara itu, antara pelukis yang mengambil bahagian dalam 10 World Artist ialah Richard Baxter (Australia) dan Prof. Kim Myung-Sik (Korea).

Pemilihan Suzlee merupakan pengiktirafan dunia terhadap pelukis tempatan dan juga hasil-hasil seni mereka yang tidak kalah mutu, idea, konsep dan gaya.

© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

pixsuzzutusan2.jpg
Pix by Utusan Malaysia

SUZLEE di samping salah sebuah karya terbarunya yang memperlihatkan adapatasi dari abstrak ekspresionisme Barat ke gaya seni lukis tempatan.


Utusan Malaysia, 29 Disember 2001 (Sastera & Budaya)

SUZLEE Karyanya Semakin Unik

Oleh AZMAN ISMAIL

BERCAKAP tentang perkembangan aliran seni lukis abstrak ekspresionisme di Malaysia, Suzlee Ibrahim adalah pelukis yang setia menekuni aliran ini sejak 1995.
Sebenarnya, karya-karya yang tidak mengutamakan imej atau subjek tertentu dengan kombinasi sapuan berus yang kasar dan halus tidak banyak ditekuni oleh pelukis Malaysia dewasa ini.
Ini kerana `tuduhan' sesetengah khalayak bahawa karya abstrak ekspresionisme ini tidak menonjolkan nilai artistik sesebuah karya tampak berbanding dengan aliran realisme dan surealisme.
Meskipun begitu, banyak perubahan yang ditonjolkan dalam setiap karyanya sehingga tahun ini. Ia begitu ketara dari aspek catan, kombinasi tekstural dan paling penting pencarian identitinya tersendiri.
Pada peringkat awal pengkaryaannya, karya-karya Movement Series begitu mementingkan gaya dan teknik catan tokoh-tokoh besar dalam aliran ini seperti Jackson Pollock, Willem de Kooning, Mark Rothko ataupun Franz Kline.
Dalam erti kata lain, paparan karya yang banyak menonjolkan gejolak emosi pelukisnya yang diperlihatkan menerusi sapuan berus dan garis-garis warna yang begitu sukar untuk ditafsirkan.
Kini karya-karya Suzlee memperlihatkan kematangan, khususnya dari aspek gaya pengkaryaannya yang semakin meninggalkan teknik dan konsep karya pelukis-pelukis besar ekspresionisme Barat itu.
Tumpuan catan tidak lagi terhadap warna-warna kontras yang membawa imej ketakutan dan gejolak perasaan Suzlee yang tidak menentu, sebaliknya memperlihat nada serta ritma yang harmoni dan tenteram.
Oleh itu, emosi ini diperlihatkan menerusi sapuan yang agak lembut dan kurang menggunakan warna-warna kontras. Sebaliknya beliau cenderung menggunakan warna-warna seperti biru, ungu dan kuning dalam satu kombinasi yang menarik.
Selain itu, karya-karya terbaru Suzlee sepanjang tahun 2001 juga menggunakan warna-warna yang sama sekali tidak terdapat dalam karya-karya awal Movement Series seperti kelabu dan putih.
Malah dalam beberapa karya terbarunya, Suzlee menggunakan warna biru yang begitu ketara dalam pada keseluruhan kanvas dengan kombinasi beberapa warna ceria lain seperti kuning dan sedikit merah dan emas.
Karya-karya terbarunya juga sangat sedikit menggunakan warna hitam dan putih yang menjadi ciri utama karya-karyanya terdahulu. Namun, ini tidak bererti ciri-ciri khas abstrak ekspresionismenya telah hilang.
Justeru, Suzlee menerusi beberapa karya terbaiknya seperti Missing You (Terengganu) berjaya menunjukkan kematangan dalam mengeksplorasi warna untuk menyampaikan mesej kepada khalayaknya.
Penggunaan catan yang agak berbeza ini bukan hanya mengikis pengaruh tokoh-tokoh ekspresionis Barat tetapi juga membawa konsep baru ekspresionisme yang bercitrakan seni tampak tempatan.
Kemampuan mengadaptasi gaya ekspresionisme Barat ke dalam wacana seni tempatan inilah menjadikan karya-karya terbaru Suzlee begitu unik dan menarik.

azman ismail
(teks: Utusan Malaysia

 

----------------------------------------------
UTUSAN MALAYSIA

3 Mei 2003
2 Rabiul Awal 1424

gambarsuzsultan.jpg

SUZLEE (kanan) mewakili pelukis yang mengambil bahagian dalam Impressions menjelaskan tentang Drum Beat III kepada Sultan Sharafuddin selepas merasmikan pameran tersebut di Galeri Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Pameran Impressions

Himpunan Bakat Pelukis Mapan

Oleh AZMAN ISMAIL

PAMERAN seni catan, instalasi dan arca oleh tenaga pengajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSLSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini berjaya menggabungkan nilai seni tampak dari kaca mata penggiat muda dan mapan.

Secara umumnya, pameran ini menggabungkan penggiat seni tampak yang mempunyai latar belakang pendidikan formal dari dalam dan luar negara.

Di bawah tajuk Impression, beberapa pelukis yang mengambil bahagian seperti Suzlee Ibrahim, Prof. Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob dan Prof. Madya Ramlan Abdullah, mengutarakan impresi seni yang menarik.

Pastinya pameran ini adalah penghargaan yang begitu besar setelah 35 tahun penubuhan FSLSR).

Secara umum, karya-karya yang dipamerkan menampilkan bakat kreatif yang merangkumi pelbagai tema. Namun, ia tetap disesuaikan dengan konsep impresi dan gerakan seni tampak global.

Oleh itu, karya-karya dalam pelbagai genre yang dipamerkan bukan sahaja indah untuk dihayati tetapi juga menggambarkan kepekaan karyawan terhadap isu semasa.

Paling bermakna, karya-karya yang dipamerkan adalah hasil kreatif terbaru setiap pelukis.

Raja Zahabuddin yang masih komited dengan konsep foto montajnya mengetengahkan karya terbarunya Seni Itu Indah - Istana Alam Shah (2003).

Karya dirakam dari satu komposisi salah satu sudut istana tersebut. Untuk menimbulkan impresi khalayak, beliau menekankan kepada warna biru yang ketara yang dipecahkan dengan teknik montaj menggunakan garisan merah.

Prof. Madya Zakaria Awang pula menggunakan teknik tuangan timah untuk membentuk karyanya Manisnya Senyuman. Gabungan imej ranting, daun dan tulisan jawi membentuk komposisi pada permukaan timah.

Sememangnya, beliau mengunakan pendekatan simbolisme yang ketara. Namun, imej-imej tersebut membentuk bahasa visual yang mengkagumkan.

Berbeza dengan Umi Baizurah Mahir yang menyuarakan imej-imej tentang kepupusan yang berlaku pada sesetengah spesis kehidupan akibat ulah dan serakah manusia. Ia dapat dilihat pada karya Rentung Laut yang menggunakan media tembikar.

Pelukis Suzlee Ibrahim yang konsisten dengan karya abstrak ekspresionisme dari movement series mempamerkan karya terbarunya Drum Beat III dalam media akrilik dan cat minyak.

Karya yang dianggap sebagai `master piece' ini dihasilkan sewaktu mengikuti International Workshop fo Visual Artist di Brande, Denmark tahun lalu.

Sesuai dengan konsep pergerakan, Suzlee cuba membentuk gambaran kontras pada kanvas. Beliau menggunakan catan hitam dan putih menggunakan tekstural kasar dan tebal. Ia turut disulami dengan warna merah dan oren.

Konsep kontras pada permukaan kanvas seperti ini mungkin bukan sesuatu yang baru dalam karya-karya Suzlee. Ia dapat dilihat dalam karya-karya terbaiknya sebelum ini seperti Brande's Wind dan Forest in Summer.

Namun, Drum Beat III adalah usaha Suzlee untuk keluar dari kebiasaannya menggunakan warna-warna biru, hitam dan merah untuk memaparkan mesej. Sebaliknya, karya ini menggunakan warna kuning sebagai elemen warna yang dominan.

Pameran yang berlangsung di Galeri Shah Alam, Selangor itu dirasmikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kejayaan Suzlee bakar semangat pelajar seni UiTM

Berita Minggu / Ahad 24 November 2002

PELUKIS Suzlee Ibrahim yang terkenal dengan "Movement Series" mengadakan hari terbuka di studionya di Meru, Klang. Aktiviti sehari pada 4 September lalu itu mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pada hari itu, pengunjung berpeluang melihat koleksi peribadi yang dilukis di atas kertas mahupun kanvas, dari yang bersaiz kecil sebesar sampul surat sehingga bersaiz besar berukuran tiga meter.

Sesetengah karyanya yang dipamerkan di Open Studio itu tidak pernah dipamerkan di mana-mana pameran lukisan sebelum ini. Pelukis abstrak ini menghasilkan karya menggunakan sama ada pensil, pen, dakwat, arang, pastel, akrilik mahupun cat minyak.

Sesekali beliau menggunakan gabungan bahan itu bagi meluahkan mood tertentu yang dikehendaki dalam menghasilkan satu-satu karya. Pengunjung juga dapat melihat satu karya kesayangan pelukis iaitu dari "Belantara Series" menggunakan cat minyak di atas kanvas yang dihasilkan sebelum lahirnya "Movement Series".

Open Studio ini bertujuan memberi pendedahan kepada khalayak pada jenis karya yang dihasilkan oleh pelukis. Teknik, cara pengolahan dan juga peringkat perubahan yang berlaku dalam karya sama ada secara disedari pelukis mahupun tidak.

Eksperimen dilakukan menggunakan pengolahan media yang pelbagai pada permukaan yang berlainan. Pemerhati dapat melihat hasilnya berlainan biarpun menggunakan bahan yang sama. Kewibawaan pelukis dalam mengolah warna menggunakan kesan berus yang berlainan amat menakjubkan.

Biarpun menggunakan bahan dan warna yang sama, pelukis dapat menangkap pandangan khalayak dengan penghasilan tekstura dari kesan berus sebagai focal point.

Jika diperhatikan pada karya awal yang dihasilkan, pelukis tidak banyak bermain dengan komposisi. Karyanya seakan sekata dengan warna kehijauan pada semua permukaan, baik dari segi warna mahupun jalinan.

Ini amat kontras dengan karyanya seperti Remisen Dialogue atau Wind/2002 yang dihasilkan ketika pelukis mengikuti International Workshop for Visual Artists di Brade, Denmark baru-baru ini. Wind/2002 ternyata mempunyai kekuatan yang tersendiri dengan komposisinya yang bersahaja dan warnanya yang kontras biru dan merah. Pelukis berjaya mengadunkan komposisi dan dua warna yang berlawanan dengan baik.

Karya Suzlee pernah digunakan sebagai muka depan dan muka belakang majalah tempatan, ada juga di antaranya digunakan sebagai muka depan novel dan kaset. Pada bulan Jun lalu, sekumpulan pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak melawat studio Suzlee. Mereka dibawa oleh pensyarah Prof Madya Fauzan Omar.

Pada Open Studio lalu, sekumpulan penuntut Jabatan Fotografi dan Pengimijan Kreatif seramai 18 pelajar dengan diketuai pensyarah dari fakulti berkenaan Zarinah Mashudi melawat studionya.

Suzlee juga dari fakulti yang sama, jadi tidak hairanlah studionya sering menjadi tumpuan lawatan bagi pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam sebagai tempat rujukan.

Yang jelas, kejayaannya di arena antarabangsa menjadi dorongan dan semangat kepada pelajar bidang seni mahupun pelukis baru.

Here I'll describe another picture from my vacation.